RM287.8 juta 'mandikan' Terengganu dengan projek air

Mad Zaidi Mohd Karli meninjau keadaan hakisan pantai di Kuala Nerus, Terengganu.


KUALA NERUS - Terengganu bakal ‘mandi’ dengan projek air bernilai RM287.8 juta tahun depan apabila Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan peruntukan mega itu di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) 2025. 

Peruntukan itu meliputi 27 projek, antaranya kerja tebatan banjir, kawalan hakisan pantai, bekalan air dan pembetungan – semuanya demi kesejahteraan rakyat Ganu yang makin terkesan dengan isu perubahan iklim. 

Antara projek tumpuan ialah Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Kuala Nerus dengan nilai RM90 juta, melibatkan kerja-kerja penambahan pasir (beach nourishment) sepanjang 2km serta pembinaan 16 struktur pemecah ombak dari Pantai Mengabang Telipot hingga Batu Rakit. 

Setakat ini, kemajuan projek berada pada 24.5 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2027. 

“Projek ini penting untuk kekalkan garis pantai dan elak kemusnahan harta benda akibat banjir pantai,” kata Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli selepas meninjau tapak projek hari ini. 

Selain itu, PETRA turut umumkan kemajuan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 di Kota Bharu, Kelantan yang kini hampir siap – dengan kadar kemajuan 95.9 peratus dan dijangka siap September 2026. 

Projek bernilai RM669 juta ini dimulakan sejak 2018 dan melibatkan komponen utama seperti tebatan banjir, saliran mesra alam, dan Living River. 

Skuad PETRA Zon Timur yang turun padang selama dua hari bermula 24 Mei turut singgah ke lokasi-lokasi lain termasuk stesen pengecas EV (Electric Vehicle) di AEON Mall serta program tanggungjawab sosial (CSR) di Masjid Al-Hijrah, Tok Bali.

PETRA komited memperkasa sektor air dan tenaga – dua elemen asas kehidupan – demi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, khususnya di Pantai Timur yang sering terdedah kepada risiko bencana alam. - TT

Post a Comment

0 Comments