Terengganu catat jualan lebih RM500,000 di MAHA 2024

Dr Azman Ibrahim - Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu.

PAVILION Terengganu di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM528,000.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, program juga berjaya menarik 156,000 pengunjung sepanjang 12 hari penganjurannya.

“Pavilion Terengganu menjadi antara yang paling ramai menarik kehadiran pengunjung sekali gus dapat memperkenalkan pelbagai produk keluaran negeri Terengganu kepada orang ramai.

“Ia juga dapat membantu pengusaha-pengusaha mengembangkan perniagaan mereka selain menjana pendapatan yang sangat lumayan sepanjang penganjuran MAHA tersebut,” katanya.

Sementara itu, Azman menyatakan beberapa projek pelaburan melibatkan penternakan dan pertanian kini dalam peringkat perbincangan untuk mengusahakannya.

“Kita sedang dalam perbincangan terakhir dengan sebuah syarikat untuk mengusahakan ladang ternakan ayam daging di Gong Katup, Setiu dengan pelaburan bernilai ratusan juta.

“Insya-Allah…kita yakin projek ini boleh dijayakan. Selain itu, ada beberapa projek dalam peringkat perbincangan antaranya Taman Stevia dan pelaburan sektor padi di Kampung Jelapang, Langkap.

“Mengenai pelaburan di Kampung Jelapang, ia melibatkan kira-kira 100 ekar tanah yang terbiar sekali gus dengan harapan dapat menghidupkan semula kawasan jelapang padi di kampung tersebut,” katanya lagi. - TT

Post a Comment

0 Comments