Kemenangan di Mahkota simbol keyakinan semula rakyat kepada BN - Rozi

Syed Hussien Syed Abdullah bersama Onn Hafiz Ghazi dan para pimpinan BN dan PH selepas diumum sebagai pemenang PRK DUN Mahkota.


KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Makota, Kluang adalah simbol keyakinan rakyat terhadap kepimpinan calon.

Ketua Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, kemenangan itu juga merupakan hasil kerjasama erat yang telah dibentuk dalam Kerajaan Perpaduan.

"Kemenangan ini membuktikan bahawa usaha kita untuk memperkukuh parti dan memperjuangkan kepentingan rakyat telah membuahkan hasil. 

"Semoga kemenangan ini menjadi pendorong untuk kita terus berbakti dan berkhidmat dengan lebih komited demi agama, bangsa, dan tanah air," katanya.

Sabtu lalu, BN menerusi calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti lebih 20,648 undi dalam PRK kawasan tersebut.

Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang berjaya memperoleh 27,995 undi, mengatasi lawannya dari Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar yang mendapat 7,347 undi.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.

Rozi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas kepimpinan dan bimbingan beliau yang menjadi tonggak kekuatan parti kita. 

"Penghargaan tidak terhingga juga kepada Menteri Besar Johor, barisan kepimpinan BN, para petugas, penyokong, dan pengundi setia BN serta rakan-rakan dalam Pakatan Harapan yang terus memberikan kepercayaan kepada kita,"katanya. - TT

Post a Comment

0 Comments