Anwar dakwa Mahiaddin cuba sogok pembangkang untuk tarik sokongan

Mahiaddin Md Yassin membuat tujuh tawaran untuk mendapatkan kerjasama bi-partisan dalam Parlimen.

PERDANA Menteri, Mahiaddin Md Yassin dituduh cuba menyogok ahli-ahli Parlimen pembangkang secara terang-terangan menerusi kaca TV bagi mendapatkan sokongan dalam usul undi percaya yang akan dibentang di Parlimen bulan depan.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim berkata, Mahiaddin juga turut mengaku sudah hilang majoriti dan kini berusaha untuk mendapatkan sokongan pembangkang.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga dikatakan membelakangi fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agong apabila mendakwa “tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.”

"Perutusan khas Mahiaddin hari ini adalah pengakuan terbuka bahawa beliau telah hilang sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Ini mewajibkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dilaksana, di mana beliau hendaklah meletakkan jawatan," katanya dalam kenyataan bersama Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Oleh yang demikian, kata Anwar, PH mengambil pendirian untuk menolak keras segala tawaran tidak ikhlas Mahiaddin yang sepatutnya dibuat lebih awal dan bukannya di penghujung hayat politik beliau. 

"Tumpuan seharusnya diberi untuk menyelamatkan rakyat dan bukan kerjaya politik beliau," kata Anwar yang kini mempunyai peluang mencapai cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri jika mempunyai sokongan yang cukup daripada ahli Parlimen lain.

Beliau berkata, PH memilih untuk bersolidariti dengan rakyat yang sedang menderita akibat pandemik COVID-19 dan sedia mengemukakan satu perancangan yang lebih baik termasuk menghidupkan semula ekonomi rakyat.

Sementara itu, kenyataan Zahid Hamidi yang hampir senada dengan Ketua Pembangkang berkata, selaku ahli Parlimen yang berpegang kepada sumpah jawatan untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, Mahiaddin tidak wajar merampas kuasa Agong dalam menentukan urusan pelantikan Perdana Menteri.

"UMNO tidak boleh mempertimbangkan segala tawaran daripada seorang yang sudah tiada keabsahan, apatah lagi bersifat sogokan terbuka dan terdesak hanya untuk memanjangkan hayat politiknya.

"UMNO menasihatkan agar rakyat dapat bertenang sehingga Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tugas dan tanggungjawab Perlembagaan baginda di bawah Perkara 40(2) untuk melantik seorang Perdana Menteri baharu dari kalangan Ahli Dewan Rakyat," katanya.

UMNO turut merakamkan penghargaan kepada 15 Ahli Parlimen UMNO yang setia dan istiqomah mempertahankan pendirian parti untuk terus membela institusi raja dan Perlembagaan Negara. - MNN

Post a Comment

0 Comments