Tidak pernah lagi dalam sejarah negara, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong murka dengan pimpinan kerajaan khususnya terhadap Perdana Menteri dan Menteri Undang-Undang.
Dua individu ini sahaja yang menimbulkan masalah dengan SBP YDPA. Menteri UMNO tidak terlibat dalam penderhakaan ini dan hanya fokus pada tugas masing-masing.
Pada masa yang sama, masalah ini turut akan menjejaskan segala usaha yang dilakukan menteri UMNO dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN). Perlu kita ingat, sokongan UMNO terhadap kerajaan PN adalah beri laluan sementara bagi menyelesaikan masalah Covid-19, bantuan rakyat, serta untuk mencapai sasaran imuniti kelompok, sebelum membubarkan Parlimen untuk kembalikan mandat kepada rakyat.
Mandat rakyat akan dikembalikan, namun masanya bukanlah sekarang kerana kita belum lagi mencapai imuniti kelompok dan mengurangkan kes Covid-19.
Jika Perdana Menteri meletakkan jawatan, seluruh kabinet akan terbubar. Sama seperti kerajaan PH. Politik akan menjadi lebih tidak stabil dan hanya mensia-siakan segala usaha Menteri UMNO selama ini.
Tidak dinafikan pengalaman dan “track record” Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri amatlah diperlukan dalam pentadbiran kerajaan kini. Beliau merupakan menteri “senior” ketika pentadbiran kerajaan BN yang sinonim dengan penggubalan dasar strategik negara seperti Program Transformasi Ekonomi ketika menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terbukti berjaya dalam meningkatkan sosioekonomi rakyat.
Pengalaman beliau sebagai Menteri Kanan Pertahanan memberi kelebihan dalam pentadbiran kerajaan dalam menangani isu-isu kontemporari seperti keselamatan, kedaulatan negara serta pengurusan krisis.
Menteri UMNO lain seperti YB KJ terbukti kompeten apabila kadar vaksinasi Malaysia adalah antara yang terpantas di dunia, dengan suntikan vaksin mencecah lebih daripada 400,000 dos sehari. Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula berjaya mendapatkan 1 juta dos vaksin AstraZeneca dan pelbagai lagi bentuk perubatan hasil hubungan diplomatik yang baik dengan kerajaan Arab Saudi.
Ahli UMNO serta rakyat perlulah rasional dalam polemik ini. Jangan kita “marahkan nyamuk kelambu dibakar”. Kita semakin hampir mencapai imuniti kelompok. InshaAllah kita akan kembali hidup dengan normal. Inilah matlamat UMNO dalam kerajaan PN.
Meruntuhkan kerajaan sedia ada bukanlah langkah terbaik dalam krisis ini. Negara kita mengalami krisis politik dan juga krisis keselamatan melibatkan nyawa rakyat.
Langkah terbaik adalah Tan Sri Mahiaddin perlu berehat dan memberi laluan kepada Datuk Seri Ismail Sabri supaya agenda menjayakan PPN dapat diteruskan kerana nyawa rakyat tidak boleh dipertaruhkan hanya kerana kepentingan peribadi.
Semoga Allah melindungi kita semua.
> Penulis ada Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu
0 Comments