Ingkar perintah Agong: Pemuda UMNO desak PM berundur

MAHIADDIN MD YASSIN

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak Mahiaddin Md Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana ingkar perintah Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Menteri Undang-Undang pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan  kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

"Malah, kenyataan media Istana Negara juga mendedahkan bahawa kerajaan dengan sengaja ingkar dan melanggar titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang jelas mahu cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan (pengundian) sejajar dengan maksud Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Pemuda UMNO Malaysia memandang serius titah Seri Paduka Baginda yang menzahirkan rasa amat dukacita mengenai kekeliruan yang disengajakan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Istana Negara.

Bagi Pemuda UMNO, tindakan kerajaan jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kerana membelakangi titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.

"Justeru, Pemuda UMNO Malaysia dengan ini mendesak supaya Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk segera meletakkan jawatan selaku Perdana Menteri kerana jelas melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Pemuda UMNO juga mendesak supaya Ahli-Ahli Parlimen UMNO menzahirkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan terhadap Mahiaddin selaku Perdana Menteri.

"Sebagai sebuah parti yang menjadi benteng utama membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO, UMNO tidak boleh berkompromi dengan sikap biadap kerajaan yang dipimpin Mahiaddin terhadap Seri Paduka Baginda," katanya. - MNN

Post a Comment

0 Comments